KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mengambil inisiatif memberikan kad sim percuma kepada penuntut dan pensyarah secara percuma bagi memudahkan program pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan.

Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata, pemberian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad yang memberikan data tanpa had kepada pengguna sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, setiap penuntut perlu mengikuti kelas secara dalam talian selama 18 jam seminggu dengan purata penggunaan data internet lebih kurang 80 GB.

“Mengambil kira keadaan semasa dan kesusahan yang dialami penuntut kita bersetuju membiayai sepenuhnya pemberian kad sim ini kepada 2,400 pelajar dan 184 pelajar sehingga bulan Disember dengan peruntukan kira-kira RM500,000.

“Dengan kemudahan itu, kuliah-kuliah yang dijalankan secara dalam talian dapat diteruskan seperti biasa tanpa gangguan dengan tidak membebankan kewangan penuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kad Sim Celcom e-Learning Kepada USAS di pekarangan Bangunan Pentadbiran USAS di sini hari ini.

Majlis penyerahan kad sim tersebut disempurnakan Ketua Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Berhad, Mohd Hafizi Mohd Padely.

Mohd Hafizi pula berkata, USAS adalah universiti pertama milik kerajaan negeri yang menggunakan pakej khas Celcom tersebut.

Menurutnya, setakat ini tiga universiti awam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi menggunakan pakej khas yang disediakan itu.

“Pelan yang kita sediakan ini khusus untuk penuntut bagi melestarikan pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan semua institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Bagi kerjasama dengan USAS, kita tidak menetapkan tempoh tertentu untuk pakej ini, terpulang kepada pihak universiti,” ujarnya.

Katanya, Celcom Axiata akan terus memberikan komitmen membantu pelajar dan pihak institusi pendidikan meneruskan pengajian secara dalam talian.