KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mengorak langkah dalam bidang penerbitan dokumentari apabila mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan, Global Station Sdn. Bhd. dan Astro.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penerbitan dokumentari mengenai kegemilangan empayar Islam, khususnya Empayar Uthmaniyah itu diadakan di USAS pada Rabu.

USAS diwakili Naib Canselornya, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi manakala Global Station diwakili pemilik / penerbit, Datin Zaiton Mohd Jiwa dan Astro diwakili Naib Presiden Kandungan Melayunya, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (FINAS), Datuk Mohamad Khusairi Abdul Talib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie.

Prof Dr Nordin berkata, USAS akan berperanan memberikan kepakaran dan menyediakan skrip untuk projek-projek produksi yang akan dijalankan di bawah selian Prof Madya Abu Hassan Morad yang banyak pengalaman dalam penerbitan bahan-bahan Islam.

Menurutnya, Global Station pula berperanan menyediakan dana bagi projek-projek produksi dan bertanggungjawab dalam urusan promosi dan pemasaran di peringkat antarabangsa manakala Astro sebagai penyiar rakan rasmi yang akan menyiarkan projek-projek produksi tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Global Station dan Astro kerana sudi bekerjasama dengan USAS dalam usaha ini,” kata beliau.

Khairul Anwar pula yakin, dengan kerjasama dengan USAS dan Global Station, proses penerbitan dokumentari itu bakal berjalan lancar kerana adanya tenaga penyelidik yang menjadi antara proses penting di dalam penerbitan dokumentari.

Menurutnya, kerjasama itu hanya satu titik permulaan dan banyak lagi khazanah sejarah dunia Islam yang boleh persembahkan di mata dunia.

“Kami di Astro akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala promosi dan usaha untuk memastikan yang siapnya program dokumentari ini, rakan-rakan kami yang ada di merata dunia mungkin kami dapat membantu supaya program ini dapat diambil juga di pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Menurut Zaiton pula, projek tersebut adalah selaras dengan sasarannya untuk menghasilkan program-program yang berbentuk Islamik, terutama yang menceritakan tentang kegemilangan Islam masa dahulu.


“Sekarang ini kita baru peringkat permulaaan, peringkat penyelidikan dan menyediakan bahan yang akan dilakukan oleh pihak USAS, selepas semua bahan sudah ada, kita akan memulakan pengambaran,” katanya sambil memberitahu, pengambaran dijangka bermula di Turki dalam masa dua atau tiga bulan lagi.

Sementara itu, Khusairi berkata, FINAS sentiasa mengalu-alukan bentuk kerjasama seumpama itu kerana bahan-bahan yang berbentuk sejarah Islam amat kurang pada ketika ini.

“Negara-negara Islam di seluruh dunia, khususnya di Timur Tengah sentiasa mencari bahan-bahan yang berbentuk islamik, sama ada dalam bentuk drama ataupun dalam bentuk dokumentari untuk disiarkan dalam di televisyen negara mereka masing- masing.
“Berdasarkan apa yang telahpun dibincangkan antara ketiga-tiga pihak, iaitu USAS, Global Station dan juga Astro, saya yakin bahawa dokumentari berkenaan kegemilangan empayar Uthmaniyah ini dapat digarap dan diketengahkan dalam bentuk yang lebih objektif,” kata beliau.
Beliau menambah, FINAS juga akan berusaha untuk membantu dan menyokong projek tersebut.