IPOH: Pentadbiran pengurusan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) diminta mengekalkan status quo sedia ada sementara menunggu laporan penuh siasatan audit mengenai dakwaan salah guna kuasa di universiti itu.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, gesaan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat pengurusan USAS ketika ini masih melaksanakan tindakan memecat dan menamatkan kontrak kakitangan universiti.

Menurutnya, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana boleh mengeruhkan lagi keadaan selepas pengurusan universiti berkenaan terpalit dengan dakwaan salah guna kuasa.

“Saya dimaklumkan naib cancelor mengambil cuti panjang, tetapi nampaknya pihak pentadbiran yang memangku rutin pengurusan ini masih lagi melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi dan menimbulkan salah faham.

“Saya terima aduan, ada lagi (kakitangan) yang dibuang kerja, saya kira mungkin banyak lagi (tindakan lain) sekiranya saya turun ke bawah untuk memeriksa keadaan.

“Jika benarlah berlaku, saya minta mereka berhenti, kekalkan status quo yang ada sementara menunggu firma audit dilantik itu mengemukakan laporannya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media di Bangunan Darul Ridzuan, di sini,hari ini.

Sebelum ini, laporan tersebut menyatakan bahawa firma audit yang dilantik sejak tiga minggu lepas sedang mengenal pasti masalah dan pelbagai dakwaan salah guna yang berlaku sebelum ini.

Antara yang dilaporkan termasuk pemberhentian kakitangan tanpa sebab munasabah, isu pengendalian kontrak kantin yang diragui, penganjuran program serta kenaikan pangkat yang meragukan.

USAS dinaik taraf sebagai universiti daripada kolej pada Jun 2016, pengumuman mengenainya dibuat Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri tidak bermaksud mahu memberi tekanan atau cuba campur tangan dalam proses siasatan firma audit.

Bagaimanapun pihaknya, tidak mahu situasi yang berlaku ini dijadikan peluang oleh satu-satu pihak untuk membalas dendam.

“Saya difahamkan ada seorang pegawai pentadbiran USAS menyindir kerajaan negeri berhubung perkara ini, kita ingatkan agar jangan melampaui batas (don’t cross the line),
sebagai penjawat awam individu berkenaan tidak boleh bersikap menyerang atau tidak mengiktiraf kerajaan.

“Mereka harus sedar akan kedudukan bahawa USAS merupakan syarikat dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri, bukan syarikat komersial lain atau entiti korporat biasa, sebahagian besar belanja mengurus ditanggung kerajaan negeri,” katanya.