KUALA KANGSAR: Lembaga Pengarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah meluluskan skim gaji baharu kepada kakitangannya, termasuk tenaga pengajar, pentadbiran serta kakitangan sokongan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, skim gaji baharu tersebut selaras dengan skim yang diguna pakai oleh universiti-universiti awam lain di negara ini.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, janji kerajaan pusat untuk memberikan peruntukan bagi pembangunan USAS juga akan dilaksanakan dan ketika ini hanya menunggu masa.

“Ini merupakan komitmen kerajaan terhadap janji-janjinya, jadi tak perlu bimbang kalau ada pihak-pihak cuba membawa isu kononnya kerajaan hanya menabur janji kosong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar lalu, ini buktinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Menteri Besar Perak di USAS, di sini pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Nordin Kardi.

Mengenai perkembangan semasa USAS, Dr Zambry memberitahu setakat ini universiti tersebut mempunyai 300 calon yang mengikuti kursus Sarjana dan 40 calon mengikuti kursus Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Kalau kita lihat dalam konteks sebuah inveristi baharu seperti ini, ianya merupkaan kejayaan yang cukup besar.

“Saya berharap USAS akan terus berkembang sehinggakan menjadi pilihan utama bagi program-program pasca siswazah.

Pada Jun tahun lalu, ketika PRK Kuala Kangsar, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengumumkan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dinaiktaraf menjadi universiti penuh dan dikenali sebagai USAS.

Katanya, sebagai permulaan kerajaan pusat telah bersetuju untuk memberi geran tahunan bagi tujuan pembangunan universiti berkenaan.

4e9cc345-f993-4a9f-b220-060034b24b1d

85c12ef8-cce2-4eec-8945-cfee8bc81e53

23fc8a4e-73c7-4555-bfe5-da0d31b38bbd