KUANTAN: Pada usia yang didakwa mencecah 100 tahun 15 April ini, Wok Osman dari Tanjung Api di sini, yakin kerap melakukan solat sunat tahajud dan puasa sunat setiap Isnin dan Khamis banyak membantunya kekal sihat.

Pada usia satu abad, Wok tidak menghidap penyakit kronik malah masih mempunyai penglihatan yang tajam serta memiliki daya ingatan yang cerdas, kecuali masalah sendi yang biasa bagi mereka yang sudah berusia begitu.

Ibu kepada 12 anak itu berkata, walaupun kekuatan fizikalnya agak lemah disebabkan faktor usia, beliau tidak meninggalkan amalan wajib dalam Islam iaitu solat lima waktu.

Wok yang menetap di Tanjung Api, di sini, bersama anak lelakinya, Razali Muhamad, 60, memaklumkan anak ketujuhnya itu sering membantunya menguruskan keperluan hariannya termasuk membantu mengambil wuduk.

“Anak mak cik (Razali) sering bantu dan papah saya ke bilik air untuk ambil wuduk dan angkat mak cik duduk di kerusi roda disebabkan lutut mak cik sudah tidak berupaya seperti dahulu,” katanya ketika ditemui NSTP, di rumahnya, di sini, semalam.

Wok yang dilahirkan di Kemaman, Terengganu dan mempunyai 60 cucu setakat ini, turut memaklumkan kadang kala anak perempuan yang keenam, Nor Aziah, 62, yang tinggal bersebelahan dengan rumahnya turut menghantar dan membelikan makanan untuk mereka dua beranak.

Berdasarkan perbualan penulis dengan warga emas berkenaan mendapati walaupun Wok sudah menginjak usia yang sering dikaitkan dengan masalah nyanyuk, perkara itu sama sekali tidak dialaminya malah masih mampu menghafal zikir ringkas serta mengenali semua 12 anak dan sebahagian besarnya cucunya.

“Walaupun arwah suami, Muhamad Jusoh (89 tahun) sudah meninggal dunia pada tahun 1996 akibat sakit tua, saya bersyukur kerana dipanjangkan usia dan Alhamdulillah dapat meneruskan hidup bersama anak dan cucu.

“Mak cik tiada rahsia pemakanan, makan apa sahaja yang anak beri. Cuma mak cik makan dalam sedikit sahaja,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1942 apabila wanita itu mengakui dia amat takut dengan tentera dari negara ‘Matahari Terbit’ itu.

“Pada waktu dahulu kalau mak cik berjalan di kawasan kampung kalau nampak pondok kawalan mak cik akan tunduk hormat (kerana takut pada tentera Jepun) walaupun mak cik tahu dalam pondok tiada tentera Jepun,” katanya.

Sementara itu, anak perempuannya Nor Aziah, 62, berkata beliau sentiasa memantau keadaan kesihatan ibunya itu selain melawat setiap hari.

“Insya-Allah genap umur emak 100 tahun pada 15 April ini kami semua adik-beradik bercadang untuk berkumpul dan mengadakan sedikit majlis makan kerana genap usia emak satu abad.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana ibu masih sihat dan berpendapat beliau seorang yang istimewa kerana tidak ramai warga emas yang hidup hingga usia mencecah 100 tahun,” katanya – berita harian