IPOH: Timbalan Pengerusi 2, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat, Norazli Musa yang lebih dikenali dengan Ustaz Azli Taliban meninggal dunia di Madinah malam tadi.

Berita itu dimuatkan di dalam beberapa laman sosial Facebook pagi ini, termasuk milik isterinya Mastura Ahmad.

Selain itu, laman facebook penceramah bebas, Ustaz Haslim Baharim atau Ustaz Haslim Bollywood.

“Khabar sedih dari Madinah, seorang sahabat baik dan Sahabat seperjuangan pengajian semasa kami di Pakistan iaitu Ustaz Norazli Musa telah menghembuskan nafas akhir pada jam 12.30 pg waktu Madinah (12 March 2019).

“Takziah buat seluruh ahli keluarganya,” kata beliau di dalam laman Facebook rasminya.

Pada 2 Mac lalu, Allahyarham Norazli, 51, di dalam status Facebooknya memberitahu, beliau dan isteri akan berangkat mengerjakan umrah di samping menghadiri konvokesyen anak sulong mereka, Ahmad Syakir di Universiti Madinah.

Allahyarham juga merupakan Pengerusi Persatuan Geng Ustaz, sebuah NGO yang mendokong aspirasi Pas.

Beliau pernah menjadi Pengurus pasukan bolasepak negeri Perak pada tahun 2008 di samping terlibat dalam misi kemanusiaan seperti ke Gaza, Aceh, Lubnan dan Kashmir menerusi Muslim Care Malaysia.