MANJUNG – Desas desus kononnya penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias dan dua abangnya akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ini atas tiket bebas adalah tidak benar dan disifatkan sebagai permainan politik pihak tertentu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika menyangkal dakwaan itu berkata beliau terlebih dahulu telah menerima maklum balas daripada Ustaz Kazim dan dua abangnya Ahmad Hasbullah, dan Datuk Mohd Najmuddin.

“Saya telah mendapat laporan berkaitan tiga beradik ini (Ustaz Kazim, Najmuddin dan Ahmad Hasbullah), mereka sendiri telah menghantar mesej kepada saya dan sahkan perkara itu tidak benar.

Tak tahulah siapa yang cuba mereka-reka atau membaca maksud tersirat (status di Instagram)dan membuat andaian… walhal beliau tidaklah bermaksud begitu, Ustaz Kazim kadang-kadang dia suka ayat-ayat yang biasa menyeronokkan…tapi orang lain tafsirkan sebaliknya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Borang 5A di Sungai Tiram, di sini pada Jumaat.

Turut hadir, penyandang DUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dalam pada itu, menurutnya, khabar angin sebegitu merupakan perkara biasa yang sering dimainkan pihak tertentu di saat-saat akhir menjelang PRU.

“Saya percaya ketiga-tiga mereka tahu, sebagaimana Ustaz Kazim nyatakan beliau seorang pendakwah, dan lebih suka menjadi seorang  di luar lingkungan politik tetapi memberikan pandangan-pandangan untuk kebaikan masyarakat.

“Biasalah musim PRU macam-macam perkara dimainkan, dalam usaha untuk mengalih perhatian daripada menyokong BN,” katanya.

Akhbar Sinar Harian ini melaporkan kononnya tiga beradik iaitu Mohd Kazim, Ahmad Hasbullah dan Mohd Najmuddin bakal menggegarkan Parlimen Larut.

Ahmad Hasbullah yang merupakan penyandang kerusi DUN Kubu Gajah dan Mohd Najmuddin dikatakan akan menimbang keputusan untuk bertanding bebas.

Menurut laporan berita itu juga, Mohd Kazim dalam satu status dimuat naik dalam akaun Instagram memberi bayangan tersebut dengan gambar beliau seakan berada di lapangan terbang.