IPOH 13 Julai – Pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias akan bertemu Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan masalah kewangan yang dihadapi Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya minggu hadapan.

Beliau berkata, pihaknya sedang menanti waktu yang sesuai berikutan Ahmad Faizal kini berada di Kuala Lumpur mengiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mesyuarat Ke-249 Majlis Raja-Raja.

Katanya, kekangan masa Menteri Besar selain beliau turut sibuk dengan ceramah di beberapa negeri menyebabkan pertemuan tersebut masih belum sempat dilaksanakan.

“Saya telah bercakap dengan setiausaha politiknya dan beliau memaklumkan untuk sebarang urusan terus menghubunginya. Apa-apa pun saya akan mendapatkan tarikh lapang Menteri Besar terlebih dahulu.

“Pertemuan ini akan dilakukan dalam masa terdekat dan selewat-lewatnya minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Kazim mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Al-Quran Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi kerana tidak mampu lagi menampung kos pentadbiran unit tersebut yang memerlukan belanja sehingga RM150,000 sebulan.

Berita mengenai penjualan unit berkenaan menjadi tular setelah beliau memuat naik kenyataan di laman sosial Facebook selain turut diiklankan menerusi laman mudah.my pada harga RM5 juta.

Bagaimanapun, Mohd. Kazim dalam sidang akhbarnya berkata, penjualan Unit Tahfiz berkenaan akan ditangguhkan sementara menunggu hasil perbincangan beberapa pihak termasuk kerajaan negeri yang berhasrat membantu unit berkenaan. – UTUSAN ONLINE