IPOH: Walaupun belum sihat, pendakwah bebas terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias menggagahkan diri masuk ke pejabat di Al Barakah di sini, hari ini.

Dalam posting terbaru beliau di laman Facebooknya, Ustaz Kazim yang baru keluar hospital petang semalam berkata, beliau rindu sangat dengan Al Barakah.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.

“Kalau Allah izinkan saya nak buat live FB balik. Terima kasih atas ingatan semua.. maafkan saya jika ada salah dan silap..halalkan makan minum. Saya mohon sepuluh jari memohon kemaafan andai terkasar bahasa,” katanya dalam posting pada 12.19 tengahari Jumaat.

Ustaz Kazim Elias dibenarkan pulang ke rumah petang semalam, selepas dimasukkan di sebuah hospital swasta di sini, pada Selasa.

Menurut abang beliau, Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz, adiknya dibenarkan keluar untuk berehat di rumah setelah pihak hospital berpuas hati tahap kesihatan yang semakin memuaskan.