HUTAN MELINTANG: Pusat Pendidikan Al Barakah menafikan penglibatan mereka dalam mana-mana skim pelaburan di negara ini mahupun di luar negara termasuk di Makkah.

Pengetuanya, Datuk Mohd Kazim Elias berkata, beliau mendapat maklumat daripada orang ramai yang menghubungi dan hadir sendiri ke pejabat Pusat Pendidikan Al Barakah untuk mendapatkan penjelasan mengenai skim pelaburan tersebut.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, syarikat tersebut dalam ceramahnya menyebut namanya dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dikatakan turut menyertai skim mereka.

“Maka pihak saya menafikan kami terlibat. Saya tidak pernah menyertai mana-mana skim pelaburan melainkan yang dibenarkan undang-undang Malaysia dan syarak.

“Ada banyak kes menggunakan nama dan gambar saya sedangkan saya tidak tahu menahu dengan sebarang aktiviti yang mereka jalankan. Ada yang letak gambar semasa karnival jualan sedangkan saya tidak ada dalam program tersebut. Ada yang menggunakan nama dan gambar untuk program umrah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Program Ceramah Perdana di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, malam kelmarin.

Mohd Kazim berkata, pihaknya telah menghubungi syarikat tersebut meminta penjelasan, bagaimanapun pihak berkenaan memberitahu kononnya sebahagian keuntungan skim pelaburan itu akan disumbangkan kepada Pusat Pendidikan Al Barakah sedangkan pihaknya tidak pernah memberikan nombor akaun bank.

“Kita sedar sejak tahun lepas. Penafian telah dibuat dalam laman Facebook rasmi Datuk Mohd Kazim Elias sendiri. (Setakat ini) tiada laporan polis dibuat kerana pihak kami tidak menjumpai bukti secara jelas, melainkan dengan panggilan yang ingin mendapat kepastian sama ada saya menyertai atau tidak (skim tersebut).

“Nasihat saya berhati-hati dalam setiap perkara. Jika melibatkan pelaburan misalnya sila dapatkan maklumat daripada pihak berkuasa sebelum melabur. Sumber maklumat yang sahih sebenarnya boleh dapat di hujung jari sahaja, oleh itu kaji dan berhati-hati dengan setiap iklan atau skim yang mencurigakan,” katanya.

Terdahulu dalam ceramahnya, Mohd Kazim turut mendedahkan wajah dan namanya digunakan pihak tertentu untuk tujuan satu skim pelaburan bagi membina hotel di Makkah.

Katanya, kerana percaya kononnya beliau turut terlibat dalam pelaburan itu, ramai yang menyertai sebelum merujuk kesahihannya. – Sinar Harian