IPOH: Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengesahkan bahawa beliau memang bercadang untuk menjual Unit Tahfiz di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya di Manjoi kerana tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat itu.

Ia sekaligus menjawab persoalan statusnya di laman sosial facebook serta di laman mudah.my mengenai penjualan pusat berkenaan yang juga dikenali Darul Al-Barakah.

Ustaz Kazim menjelaskan, beliau terpaksa menjual sebahagian pusat itu membabitkan unit tahfiz di pusat berkenaan yang menempatkan hampir 100 pelajar.

Katanya, keputusan sedih itu terpaksa diambil beliau berikutan tidak mampu lagi untuk menampung kos pentadbiran keseluruhan pusat berkenaan yang kini mencecah RM150,000 sebulan.

“Memang, saya akui kita ada mengiklankan untuk dijual sahaja Darul Al-Barakah atau lebih tepat lagi Unit Tafiz Pusat Pendidikan Al-Baraqah.

“Keputusan ini memang amat sedih tetapi terpaksa diambil kerana saya memikirkan nasib guru serta pelajar dan penjualan ini dapat menampung kos pentadbiran dua lagi unit di pusat ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Selain Unit Tahfiz, Pusat Pendidikan AlBarakah juga mempunyai Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok Moden (dewasa).

Ustaz Kazim berkata, selama ini, kos pentadbiran pusat tersebut ditambung daripada derma, bayaran ceramah dan hasil jualan pelbagai produk ketika ceramah.

Bagaimanapun, kata beliau, sejak kebelakangan ini, disebabkan sudah tiada lagi ceramah, beliau tidak mampu lagi menampung perbelanjaan yang diperlukan.

Sehubungan itu, penceramah terkenal itu akan membuat sidang media khas pada Rabu untuk menjelaskan lebih lanjut megenai perkara tersebut.