KUALA KANGSAR: Ustazah Nurfarhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu dikatakan hanya makan roti dan minum air mineral sebelum muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Perak, pada petang Khamis.

Dia juga dikatakan tidur di beberapa surau dan banyak menghabiskan masa berjalan kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, guru agama itu muncul di IPD Kuala Kangsar kira-kira pukul 3.15 petang Khamis dan berdasarkan soal siasat yang dibuat, dia itu hanya sedar apabila berada di Padang Rengas, Perak.

“Setakat ni kita tak dapat cakap jelas apa yang berlaku pada dia dan cuma yang pasti dia kata, bila dia sedar, dia berada di Padang Rengas dan dia naik bas daripada Padang Rengas menuju ke Kuala Kangsar turun depan hospital, dari hospital dia berjalan kaki menuju ke IPD Kuala Kangsar,” katanya ketika ditemui di IPD Kuala Kangsar pada Khamis petang.

Menurutnya, ketika ditemui, ustazah itu kelihatan letih tetapi ceria.

“Dia agak letih sedikit tetapi dia tidak ada kecederaan apa-apa dia dalam keadaan selamat, dia dalam keadaan normal, dia agak ceria dan dia agak gembira berjumpa suami dia dan dia mengatakan dia tak sabar untuk balik untuk menemui anak dia.

“Tidak ada apa-apalah yang berlaku setakat ni, mungkin Balik Pulau nanti dia akan buat pergi hantar pemeriksaan doktor ke, dia akan buatlah pasal tindakan akan dilaksanakan di Balik Pulau memandangkan laporan dibuat di Balik Pulau sana,” ujarnya.

Guru pendidikan Islam itu juga tidak membawa apa-apa dokumen ketika keluar dari sekolah dan berdasarkan soal siasat, dia hanya membawa wang yang berada di dalam poketnya, di samping al-Quran di dalam beg yang dibawa.

Guru tersebut kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarga sebaik sahaja suaminya tiba untuk membuat pengesahan kira-kira pukul 5.30 petang.