IPOH: Persidangan Dewan Belia negeri Perak bukan hanya retorik tetapi merupakan inisiatif kerajaan negeri yang komited dalam memberi peluang kepada generasi muda mencurahkan idea pemikiran mereka.

Malah, kerajaan negeri juga memandang serius segala usul yang dibentang dan dibahaskan

pada setiap kali persidangan dewan berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebahagian daripada usul itu telah diambil tindakan sebagai input dalam proses formulasi polisi dan program kerajaan negeri.

Beliau memberi contoh, kerajaan negeri menerima pakai cadangan agar kuota lima peratus diberikan kepada belia di setiap projek perumahan yang dilaksanakan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak.

“Bagi golongan belia wanita sebagai contoh, supaya pengupayaan juga diberikan ruang kepada mereka seluas-luasnya, kita juga turut mengambil pendekatan yang sama.

“Pada hari ini, bukan sekadar 30 peratus kuota yang diperlukan untuk wanita kita penuhi tetapi ada sektor-sektor tertentu, kita tidak meletakkan 30 peratus, kalau lebih, lebihlah, diberikan ruang berdasarkan kepada kebolehan mereka, kemampuan mereka dan tidak boleh didiskriminasikan atas nama jantina,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan mesyuarat pertama, penggal pertama persidangan belia negeri Perak kedua di Ipoh pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Belia di samping dua Timbalan Speaker, ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhamad Iqbal Dinzly Muhamad Saifuddin.

Perak yang memulakan persidangan belia sejak tiga tahun lalu menjadi negeri pertama yang mengadakan persidangan belia di dalam Dewan Negeri.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan tidak mahu memisahkan golongan belia daripada arus pembangunan dan pengurusan negeri.

“Mereka tidak boleh diletakkan semata-mata hanya golongan masa depan kerana saya menganggap golongan muda adalah generasi masa kini dan mereka perlu bersama menggembeling tenaga dan usaha dalam kita membangunkan negeri Perak kita,” ujarnya.