KUALA LUMPUR: Berikut adalah Usul Ekonomi yang dibentangkan oleh wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC di sini pada Jumaat.

MENSYUKURI kehadrat Allah SWT di atas pengurniaan nikmat kehidupan yang aman dan makmur serta bermaruah lagi berdaulat selama 60 tahun selepas kemerdekaan di bawah payung Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO.

MENGAKUI bahawa di sebalik kejayaan itu, masih terdapat ruang dan peluang bagi kaum Bumiputera untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi supaya selari dengan kejayaan yang telah dicapai oleh kaum yang lain, khususnya dari segi pemilikan aset kewangan dan aset bukan kewangan negara, penyertaan dalam bidang perniagaan dan diberikan peluang yang lebih luas dalam menjawat jawatan pengurusan dan profesional di sektor swasta.

MENGIKTIRAF bahawa projek-projek pengangkutan awam seperti LRT3, MRT, East Coast Rail Line (ECRL) serta KL–Singapore High Speed Railway (HSR) akan melonjakkan aktiviti ekonomi di sepanjang jajaran seterusnya memberi faedah kepada kaum Bumiputera melalui limpahan ekonomi yang dibawa projek berkenaan disamping memberi peluang pekerjaan serta meningkatkan hasil KDNK negara dalam jangka masa panjang.

MENGINSAFI bahawa hanya terdapat 27.3% pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia lantas mengurangkan peluang untuk menjana ekonomi serta keusahawanan untuk golongan siswazah. Sekali gus menyebabkan pendapatan rakyat khususnya kaum Bumiputera masih rendah berbanding kaum lain.
*(Sumber: Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh 2016)

MAKA

Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini membuat ketetapan seperti berikut:

Pertama MENDOKONG Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai usaha mensiapsiagakan kaum Bumiputera dalam menghadapi masa depan yang bergerak pantas dengan melaksanakan prinsip pengagihan kekayaan yang adil dan inklusif dengan struktur ekonomi yang inovatif dan mapan serta sistem sokongan sosial yang menyeluruh.

Kedua MENYOKONG inisiatif Kerajaan untuk memperlengkapkan golongan belia dan usahawan dengan pengetahuan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital dalam menstruktur semula pemilikan ekuiti dan menjadikan ekonomi digital sebagai teras ekonomi untuk mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi.

Ketiga MENCADANGKAN kepada Kerajaan, demi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, garis panduan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) hendaklah di jadikan dasar oleh semua syarikat besar termasuk GLC yang mendapat kontrak atau Konsesi kerajaan diwajibkan untuk melaksanakan dasar lebih mesra kepada syarikat Bumiputera yang lain bagi mewujudkan rangkaian perniagaan dan usahawan Bumiputera di setiap peringkat perniagaan dan rantaian bekalan.

Keempat MENYELARAS semua agensi kerajaan yang terlibat dengan perumahan mampu milik seperti KPKT, PRIMA, PPA1M, SPNB, UDA dan lain-lain untuk menyelesaikan isu perumahan secara total dan holistik terutama dari segi pemilihan lokasi, harga dan spesifikasi rumah yang bakal dibina hendaklah berharga RM250,000 dan ke bawah.

Kelima MENANGANI kos sara hidup yang terus meningkat dan menghimpit kehidupan rakyat melalui penguatkuasaan yang tegas kepada peniaga yang sering mengambil kesempatan menaikkan harga barang serta tindakan drastik menghapuskan aktiviti ‘orang tengah’ serta memperbanyakkan agensi Kerajaan seperti FAMA yang boleh menjual terus barang keperluan asas kepada rakyat.

Keenam MENDESAK supaya Kerajaan mewujudkan ekosistem perniagaan yang bersangkutan dengan pengangkutan awam agar syarikat-syarikat Bumiputera yang melaksanakan perkhidmatan maintenance, repair and services (MRO) dapat menikmati pelaburan besar Kerajaan seperti LRT3, MRT, East Cost Rail Line (ECRL) High Speed Rail (HSR) dan lain-lain.

Ketujuh MENCADANGKAN Bajet 2018 yang dibentangkan oleh YAB Presiden menjadi asas kepada kepada manifesto Barisan Nasional untuk PRU14 memandangkan Bajet 2018 adalah sangat menyeluruh, mempunyai WOW Factor, holistik dan memberi manfaat kepada semua golongan termasuklah B40, peniaga PKS, wanita, belia, kakitangan awam dan sebagainya.