KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, audiens Perhimpunan Agung UMNO bukanlah hanya tertumpu kepada perwakilan yang hadir di dalam dewan semata-mata, malah mereka yang berada di luar juga turut melihat dan akan meneliti setiap perbahasan sepanjang persidangan berlangsung.

Justeru, katanya, penyampaian yang disampaikan oleh jurucakap-jurucakap pada perhimpunan sayap parti dan juga Perhimpunan Agung UMNO perlu berdasarkan kepada fakta yang tepat serta mencakupi tajuk ucapan agar isi kandungan yang disampaikan tidak lari daripada tujuan serta matlamat sebenar.

“Kepentingan dalam isi kandungan atau ‘substance’ usul yang bakal dibentangkan perlu berfokus kepada khalayak, rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan penyampaian isi kandungan usul kita perlu berdasarkan fakta untuk menunjangi ucapan mengenai topik yang diberikan, cara penyampaian yang berkesan dan tidak bersifat retorik.

“Kita bukan hanya menyampaikan ucapan kepada khalayak yang berada di hadapan kita atau di dalam dewan sahaja malah khalayak kita juga berada berada di rumah, di gerai-gerai atau di mana-mana sahaja,” ujar beliau semasa Taklimat Jurucakap Usul Perhimpunan Agung UMNO 2017, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung UMNO 2017, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau seterusnya mengingatkan jurucakap agar berhati-hati dalam ucapan nanti kerana liputan audiens yang luas terutama melalui media sosial dan sebarang kesilapan akan diputar-belit khususnya pembangkang.

“Kadangkala mereka bukan melihat apa ‘substance’ yang kita utarakan tetapi apa kesilapan yang berlaku. Kesilapan itulah yang akan di’spin’. Yang penting isi kandungan mestilah berfakta dan saya harap pada kali ini jurucakap dapat memberikan ucapan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung UMNO 2017, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam ucapannya berkata serangan bertubi-tubi daripada pihak pembangkang terhadap pihak kerajaan dan parti termasuk parti komponen perlu ditepis, dengan menyampaikan mesej-mesej kesatuan dan perpaduan dan pada masa yang sama tidak berunsur perkauman dan sebagainya.

“Ini penting untuk memperbetulkan persepsi dan penekanan kepada ‘winning mentality’ dan ‘feel good factor’ untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Perhimpunan kali ini sebagai landasan terakhir sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum Ke-14.

Perjuangan UMNO selama 71 tahun ditunjangi kepimpinan yang kukuh merupakan wadah terbaik demi perjuangan bangsa, agama dan tanah air serta masih relevan hingga ke hari ini,” katanya. – Media UMNO.