KUALA LUMPUR :Usul persendirian mengenai pembaharuan sistem penjara dan lokap akan dibentangkan pada persidangan Parlimen.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, kemudahan penjara dan lokap yang ada di negara ini sudah enam dekad ketinggalan.

Katanya, beliau sendiri mengumpul maklumat bagi membolehkan usul itu di bawa ke Parlimen.

“Dalam masa sama, saya juga akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) supaya penjara dan lokap juga di ambil kira dalam pembaharuan yang ingin di bawa kerajaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Tian Chua’s Kajang Diary: A Prison Retreat hasil tulisan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Nurul Izzah berkata, pembaharuan penjara dan lokap adalah antara perkara yang sudah lama dibangkitkan oleh PKR.

Katanya, sebelum ini, kerajaan terdahulu ada menyatakan untuk memperbaiki sistem penjara dan lokap di balai polis tetapi ia tidak dilaksanakan.

“Cadangan yang sama turut dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada pertemuan beliau dengan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Tian Chua berkata, pembaharuan sistem penjara dan lokap sudah lama dibangkitkan malah dalam Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia ada mengemukakan cadangan yang sama.

“Malangnya, sehingga hari ini cadangan kepada Suruhanjaya itu tidak dilaksanakan.

“Kita harap cadangan dalam suruhanjaya itu akan dilihat semula untuk dimasukkan dalam usul persendirian itu nanti, ” katanya – berita harian