TAPAH – Golongan asnaf diingatkan supaya memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak sekiranya mereka mahu keluar dari kepompong kemiskinan dan hidup selesa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kemiskinan yang dihadapi mereka ketika ini bukanlah untuk diwarisi oleh anak-anak dan hanya dengan pendidikan sahaja ia mampu memberi jaminan masa depan yang selesa.

“Tak ada jalan lain untuk perbaiki keluarga selain memberi pendidikan percuma buat anak-anak kita, kalau kita rasa hari ini dihimpit kesusahan atau miskin, satu cara sahaja keluar iaitu dengan pendidikan terbaik.

“Apa juga kita lakukan saya mohon ibu bapa ambil masa duduk sama anak-anak pastikan mereka buat kerja rumah dan hantar ke sekolah walau mereka bangun lambat,” katanya ketika berucap pada Program Memperkasa Jalinan Asnaf, di Perkarangan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Derah Batang Padang, di Tapah, hari ini.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu mengambil bahagian di dalam aktiviti sekolah anak-anak dan bukannya menyerahkan anak mereka bulat-bulat kepada guru tanpa mengambil tahu prestasi anak-anak di sekolah.

Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang turut menasihati golongan asnaf agar berusaha memperbaiki diri agar dapat keluar dari kepompong kemiskinan serta berdoa dan yakin bahawa rezeki itu datang dari ALLAH S.W.T.

“Ramai orang datang nak bantu atas dasar tanggungjawab tapi kita sendiri perlu ada semangat perbaiki diri dan bila berada dalam keadaan terhimpit kita kena yakin rezeki dari ALLAH S.W.T.

“Kita mesti berusaha kalau tanpa usaha dan doa sahaja kita tidak akan dapat apa yang kita mahukan dan saya menyeru semua termasuk diri saya sendiri agar sentiasa berusaha perbaiki diri, cari jalan di mana kalau hari ini kita dibantu, esok lusa kita pula jadi yang membantu,” katanya.

Sementara itu, seramai 100 asnaf dalam Dun Chenderiang menerima bantuan wang zakat Lembaga Air Perak berjumlah RM500 seorang bagi menguruskan sesi persekolahan anak-anak mereka dan disampaikan oleh Ahmad Faizal – sinar harian