TAMPIN – Tindakan penganjur tidak memberhentikan seketika kursus haji yang sedang berlangsung menyebabkan solat jenazah terpaksa ditangguhkan kira-kira satu jam.

Kejadian berlaku di sebuah masjid di Gemencheh, di sini, kelmarin yang dimuat naik di Facebook sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Foto dimuat turun dipercayai oleh waris keluarga mendapati, jenazah diletakkan di luar pekarangan masjid, sementara di dalam masjid berkenaan penuh dengan peserta yang sedang mengikuti kursus haji.

“Sedih, pilu hati melihat jenazah terabai. Kalau tak nak bagi kami guna ruang dalam masjid pun, cukuplah dapat memberhentikan seketika ceramah sebentar kerana beliau menggunakan pembesar suara yang kuat.

“Kami semua tidak ada masalah pun untuk buat solat jenazah di ruang luar. Sepatutnya ustaz yang lebih arif tentang agama, tunjukkanlah teladan dan contoh yang baik-baik kepada kami yang kurang arif ini,” catatan dipercayai daripada waris dalam komen Facebook terbabit.

Malah, boleh dikatakan hampir kesemua netizen kecewa kerana seolah-olah penganjur tidak hormat kepada jenazah berkenaan.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian berhubung perkara itu menjelaskan, sewajarnya penganjur program kursus tersebut menangguhkan sebentar aktiviti mereka bagi memberi laluan untuk solat jenazah.

“Dahulukan solat jenazah. Yang lain boleh ditangguhkan kerana jenazah harus diuruskan dalam kadar yang cepat serta tidak boleh dilengahkan,” tegasnya.

Menurutnya, ini kali pertama beliau menerima kes seperti ini dan saya menasihatkan semua pihak tidak melengah-lengahkan urusan pengkebumian jenazah termasuk solat jenazah.

“Tak lama pun… patut ada budi bicara. Sedangkan bila kita solat Zohor berjemaah di masjid pun, kita tidak tunggu selesai solat sunat untuk laksanakan solat jenazah. Bila dah ada jenazah, terus kita solat jenazah selepas solat Zohor,” katanya.

Mohd Yusof berkata, urusan lain boleh diteruskan selepas selesai solat jenazah kerana kewajiban mempercepatkan pengurusan jenazah lebih diutamakan berbanding hal lain.

“Saya harap agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

-SinarHarian