SERI ISKANDAR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) mahu menjadi sebuah pusat yang menghasilkan dan menyebarkan pengetahuan baharu selain daripada beraspirasi menjadi kuasa pemacu penyelidikan untuk negara.

Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib yang menjalan tugas sebagai Naib Canselornya berkata, dengan mencapai sasaran itu, universiti tersebut bakal menjadi rakan pilihan yang diiktiraf antarabangsa untuk industri dan komuniti saintifik yang dihormati menjelang 2025.

“Dalam usaha untuk menjadi terkenal di peringkat global, kami tetap kekalkan prinsip integriti, professionalisme, kekariban dan kesetiaan dalam kami memupuk budaya menyokong, memberi inspirasi, menyumbang dan berkongsi dalam universiti kami,” katanya.

Mohamed Ibrahim berkata demikian di dalam ucapannya sebelum Titah Diraja bertajuk ‘Building a Dynamic and Inclusive Education Ecosystem’ oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di UTP di sini, hari ini, bersempena ulang tahun ke-20 universiti itu.

Beliau berkata, UTP secara rasminya ditubuhkan pada 10 Jan 1997 dan sejak awalnya mempunyai wawasan untuk menjadi peneraju dalam pendidikan teknologi selain daripada menjadi pusat kreativiti dan inovasi.

“Kini menyambut ulang tahun ke-20, satu peristiwa penting dalam sejarah universiti ini, kami telah melakar begitu banyak kejayaan dan membawa perubahan dalam hidup ramai orang.

‚ÄúSetiap satu daripada kejayaan, pencapaian, pujian dan pengiktirafan kepada kami mengesahkan kami mengambil langkah yang betul dan bergerak ke hadapan di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat kami,” katanya.

Mengulas mengenai acara pada hari ini, Mohamed Ibrahim berkata, ia adalah satu forum berharga untuk perkongsian pengetahuan bersama Sultan Nazrin yang terkenal sebagai seorang intelek dan berpengetahuan luas dengan komuniti universiti dalam isu terkini.

“Pengetahuan dan maklumat diperoleh menerusi sesi ini melengkapi dan meningkatkan apa yang didapati pelajar di dalam kelas dan pendidikan rasmi selain daripada memberikan pandangan yang lebih baik mengenai isu nasional dan global bagi pensyaraf dan staf,” katanya.