IPOH: Universiti Teknologi Petronas (UTP) memenangi Anugerah Potensi Inovasi sempena Sambutan Hari Inovasi Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) Ke-29 dan Sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Perak.

 Sebanyak 28 kumpulan dari jabatan negeri, persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan berkanun terlibat dalam KIK ke-29 yang dibahagikan kepada dua kategori – Teknikal dan Pengurusan.

 Dr Zambry di dalam ucapannya berkata, inovasi merupakan perkara yang perlu sentiasa dititikberatkan bagi meneroka sesuatu bidang lain.

 Menurut beliau, menerusi konvensyen seperti itu, mereka mampu menghasilkan sesuatu yang yang tidak pernah terfikir sebelum ini atau tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran.

 “Kita ambil contoh perang yang berlaku di sesebuah negara, tidak terfikir pun yang kita dapat saksikan keadaan yang berlaku di sana secara langsung, itulah hebatnya teknologi,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut di Dewan Bankuet,Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

 Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Johan bagi Anugerah YAB Menteri Besar kategori Pengurusan dimenangi oleh kumpulan KEME dari Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh yang menerima wang tunai RM20,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Johan kategori Teknikal pula dirangkul oleh kumpulan EX-4 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak.

 Selain itu, anugerah lain yang turut dipertandingkan tahun ini ialah Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK), Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah (AIPDT), Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT), Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) dan Anugerah Tema Inovasi Terbaik.