IPOH: Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada riak wajah 177 anak-anak yatim dan miskin daripada lima buah rumah kebajikan selepas mereka dibawa membeli-belah pakaian raya di Pasar Raya Besar Mydin, Meru di sini anjuran Universiti Teknologi Petronas dan Yayasan Petronas petang tadi.

Rumah kebajikan yang terlibat ialah Rumah Anak-Anak Yatim Soleha, Tanjung Tualang; Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Parit; Asrama Darul Salam, Sungai Rapat, Ipoh; Pertubuhan Rumah Amal Haruman Kasih, Ayer Tawar; dan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor.

Nur Fisyahril Jihan Abdullah, 15, berkata, dia bersama lima lagi adiknya sangat gembira dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan pakaian baru pilihan sendiri nanti.

“Saya sangat seronok dapat pilih pakaian sendiri pada hari ini. Antara pakaian pilihan saya adalah jubah, kurta dan songkok.

“Adik-adik pun gembira memilih baju raya masing-masing. Ia sangat bermakna buat kami sekeluarga. Terima kasih kepada UTP dan Yayasan Petronas atas sumbangan ini,” katanya.

Tambah Nur Fisyahril Jihan, dia bersama adik-beradiknya yang berusia antara 5 hingga 15 tahun kini tinggal di rumah kebajikan Asrama Darul Salam selepas kematian bapa kerana menghidap sakit di bahagian hati pada 2014.

Seorang lagi anak yatim dari Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Syed Noraiman Syed Kamaruzzaman, 13, turut menyatakan keterujaan pertama kali membeli pakaian raya sendiri.

“Saya baru setahun di rumah kebajikan dan ini merupakan kali pertama saya dibawa membeli baju melayu, songkok, sampin dan kasut yang dipilih sendiri.

“Sebelum ini saya dan tujuh beradik yang lain ada menerima bantuan sumbangan namun tidak seperti yang dilakukan pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Komunikasi Korporat UTP, Shamsina Shaharun berkata, UTP dengan kerjasama Yayasan Petronas kali ini membuat kelainan apabila meraikan anak-anak yatim dan miskin ini dengan membawa mereka membeli-belah.

“Sebelum ini, kita raikan mereka dengan program berbuka puasa dan memberikan sumbangan. Namun kali ini Yayasan Petronas menyediakan dana bagi membantu dan meraikan golongan tidak bernasib baik ini.

“Tiga komponen penting ingin dicapai pada program kali ini melibatkan aspek psikologi iaitu berbuka puasa dan membeli-belah bersama; membaik pulih kemudahan asas mereka selain memberi motivasi kepada mereka,” katanya.