ALOR SETAR: Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem mengharapkan sokongan padu penonton menjelang perlawanan pertama peringkat kumpulan Kejohanan Berpasukan Asia menentang Thailand, esok.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, sokongan padu penyokong sering memberikannya semangat luar biasa dan faktor itu terbukti ketika dia merangkul kejuaraan sulung Terbuka Malaysia pada 2014.

“Ia (sokongan) satu kelebihan buat kita apatah lagi beraksi di gelanggang sendiri (Stadium Sultan Abdul Halim) dan saya suka bermain di gelanggang yang mempunyai ramai penyokong. Ia membuatkan saya lebih bersemangat,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Jelasnya, selain mempunyai pemain perseorangan yang baik, Thailand juga memiliki gandingan hebat di bahagian beregu namun dia bersama Tan Wee Kiong akan cuba yang terbaik untuk menyumbang mata esok.

“Saya bukan mahu membantu pasukan muncul juara Kumpulan C tapi mahu membawa Malaysia terus layak ke Piala Thomas,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ditanya mengenai peluang Malaysia dalam Kumpulan C, V Shem mengakui bahawa bukan saja Thailand, malah Taiwan juga memang kuat terutama sekali dengan kehadiran beregu yang menduduki kelompok 10 terbaik dunia, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin dan Lee Jhe Huei-Lee Yang.

“Kita harus cuba satu demi satu perlawanan. Bagi saya, turun selaku beregu pertama adalah perkara biasa. Kami harus buktikan apa yang kami ada sebagai pasangan nombor satu negara walaupun Taiwan setakat ini sangat konsisten dalam acara beregu lelaki.

“Bagi kami, walaupun mereka berada dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia ia sedikit pun tidak mengganggu persiapan kami untuk memberikan aksi terbaik,” kata V Shem.

Bekas pasangan nombor satu dunia itu dijangka berdepan gandingan utama Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren esok.

Berdasarkan rekod, V Shem-Wee Kiong pernah mencatatkan kemenangan 21-17, 21-19 ke atas lawannya itu dalam aksi sulung mereka di Terbuka India tahun lalu.-berita harian