BAGAN SERAI: Seorang pemandu van kilang menanggung kesakitan hampir setengah jam apabila kaki kanannya tersepit selepas van dipandu terbabas lalu merempuh kedai runcit di Simpang Lima, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.02 pagi.

Katanya, anggota yang tiba di lokasi kejadian menyelamat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu.
Seorang pemandu van kilang cedera selepas terbabas dan merempuh sebuah kedai runcit di Simpang Lima, Jalan Alor Pongsu awal pagi tadi. – Foto ihsan Bomba
“Ketika kejadian, tiada penumpang berada dalam van dan mangsa difahamkan dalam perjalanan mengambil pekerja kilang di kawasan sekitar.

“Bomba menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di ruang pemandu.

“Kejadian menyebabkan paha mangsa cedera parah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.40 pagi – berita harian