IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negeri Perak juga tidak kurang mendapat nikmat pembangunan negara,

 

Menurut beliau, setiap kali datang ke negeri ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan meminta bermacam-macam dan beliau meluluskannya.

 

“Memang kita ada perancangan supaya pembangunan kita bersifat inklusif,” katanya ketika berucap pada program Pasca Bajet 2018 bersama penjawat awam Institut Kolej Sains Perubatan Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dekat sini, pada Khamis.

 

Beliau memberi contoh, antara projek pembangunan itu ialah Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dari Banting ke Taiping dan status bebas cukai untuk Pangkor yang diumumkan dalam bajet baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa gembira dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima Perak, khususnya Ipoh, seperti yang dimaklumkan oleh Dr Zambry.

 

“Saya lihat, kalau Ipoh ini sudah diiktiraf sebagai antara bandar yang mesti dilawati, seperti MB kata, dengan keretapi KTM `inter city’ kalau kita tambah lagi dan sebagainya, saya lihat orang mungkin tinggal di Ipoh,” ujarnya.

 

Najib berkata, Ipoh mempunyai kehidupan yang berkualiti di samping makanan yang cukup hebat seperti kuew teow basah dan vangey.

 

Beliau mengakui, vangey turut menjadi kegemarannya yang dijual dengan harga hanya RM4.80, yang beliau sifatkan sebagai terbaik di dunia.

“Saya makan quinoa heboh, saya makan kuew teow, saya makan vangey tidak pula heboh,” katanya merujuk kepada isu mengambil bijirin jenis quinoa sebagai sebahagian daripada rejim diet sihat yang diamalkan beliau.

Selain itu, kat Perdana Menteri, Perak juga mempunyai bandar proton di Tanjung Malim yang dipindahkan dari Shah Alam, yang turut menjanjikan banyak perubahan bakal berlaku.