GOPENG: Veteran angkatan tentera perlu terus membantu usaha kerajaan untuk mengekalkan keamanan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mereka harus memberitahu masyarakat, khususnya anak muda mengenai jerit perit untuk menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan mereka supaya jangan sekali-kali menimbulkan kebencian rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan.

“Jaga baik-baik negara dan jangan sekali-kali bertindak mewujudkan perpecahan sehingga menjerumuskan negara ke dalam pergaduhan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Perak di RTC Gopeng pada Isnin.

WhatsApp Image 2017-05-13 at 12.38.15

Hadir sama Presiden PVATM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, Exco kerajaan negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Yang Dipertua PVATM Perak, Lt Kdr Jayah Said.

Dr Zambry berkata, kerajaan bersedia untuk menerima kritikan tetapi jangan sampai sehingga menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk terus mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat, termasuk veteran keselamatan.

Pada majlis itu, Dr Zambry menyampaikan Pingat Setia Berjuang kepada 10 ahli PVATM Perak di samping meluluskan RM100,00 bantuan kepada PVATM Perak dan RM4,000 kepada setiap 44 cawangannya di seluruh negeri.