KUALA LUMPUR: Veteran UMNO sekali lagi menasihatkan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) supaya menamakan calon lebih awal, dalam usaha mengelak unsur cah keting pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata tindakan itu membolehkan risiko sabotaj dan khianat dalam kalangan jentera dapat diminimumkan kerana ada masa untuk memujuk pihak yang tidak terpilih.

Beliau berkata, tidak seharusnya bakal calon dibiarkan berada dalam keadaan berteka teki dan menaruh harapan bahawa mereka akan dipilih menjadi calon pada PRU-14.

Sebagai contoh, katanya seorang ketua bahagian yang sudah kalah tiga kali dalam PRU dan pilihan raya kecil (PRK) yang sudah pasti akan kalah lagi kalau bertanding pada PRU akan datang, tidak sewajarnya dibiarkan mengumumkan kepada jentera kononnya mereka adalah bakal calon.

“Jika individu itu tidak terpilih, bahananya dia akan malu, marah dan berdendam sehingga menyebabkan dia dan penyokongnya bertindak untuk mensabotaj calon yang dipilih.

“Calon UMNO/BN akan kalah dengan hanya penyokong tidak keluar mengundi terutama di kawasan majoritinya kecil,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mustapha berkata, tinjauan Veteran UMNO di seluruh negara, mendapati kemungkinan berlakunya perebutan menjadi calon dalam kalangan ahli jawatankuasa bahagian, di samping wujud orang luar yang kuat melobi pucuk pimpinan untuk dipilih sebagai calon.

Beliau berkata, pihaknya amat bimbang dengan situasi seperti itu yang akan membawa kepada perbuatan memboikot dan mencantas calon yang dipilih untuk bertanding.

“Sekiranya berlaku, UMNO/BN akan berdepan dengan kekalahan walaupun peluang untuk menang di kawasan itu amat cerah,” katanya.

Veteran UMNO turut mengingatkan pucuk pimpinan mengenai kewujudan musuh dari dalam parti yang mungkin terdiri daripada individu yang marah dan kecewa apabila tidak terpilih menjadi calon.

Mustapha berkata, jika musuh dalaman tidak diatasi dengan bijaksana dan berhemah, kemungkin untuk BN tewas adalah tinggi.

“Pembangkang adalah musuh yang jelas dan nyata, mereka boleh dikenal pasti. Yang bahayanya ialah musuh dalaman yang sukar untuk dicam.

“Mereka tidur sebantal dan sekatil dengan kita. Mereka musuh dalam selimut dan lebih berbahaya daripada musuh yang nyata,” katanya.

Sehubungan itu, Veteran UMNO menyeru mana-mana pihak yang menaruh harapan untuk bertanding tetapi menyedari akan tewas supaya berlapang dada menarik diri lebih awal dengan memberi aku janji akan menyokong mana-mana calon yang diberi mandat untuk bertanding – berita harian