IPOH: Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman diberi tempoh hingga 21 Mei depan bagi menyelesaikan tuntutan cukai pendapatan individu yang gagal dilunaskan bagi tempoh lima tahun membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM4.6 juta.

Hasmiza, 47, atau lebih dikenali Datuk Seri Vida dikehendaki membayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Sub Seksyen 91 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun-tahun taksiran 2011 hingga 2015 dengan jumlah sebanyak RM4,686,435.79.

Ketetapan itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini selepas tuntutan difailkan Peguam LHDN, Nor Hidayah Mohd Anas dalam kamar Hakim.

Vida bagaimanapun tidak hadir dan beliau diwakili Peguam Zailan Mohamed.

Nor Hidayah ketika ditemui pemberita berkata, tuntutan itu dibuat selepas pengasas produk Vida Beauty itu gagal mematuhi perbincangan bersama yang dibuat sebelum ini berhubung proses pembayaran cukai secara ansuran.

Menurutnya, tuntutan di mahkamah akan diteruskan sekiranya Datuk Seri Vida gagal menyelesaikan tuntutan dibuat dalam tempoh ditetapkan iaitu sebelum 21 Mei depan.

“Sekiranya tuntutan berjaya diselesaikan , maka kes tidak berjalan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Zailan dari Zailan&Associates memaklumkan, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama LHDN untuk membuat penyusunan semula bayaran agar kes dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Tahun lalu, Datuk Seri Vida menjelaskan tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.2 juta atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata dan membayar GST dalam tempoh bercukai daripada 1 April 2015 hingga 31 Julai 2016.