IPOH: Perbicaraan sebutan kes jutawan kosmetik dan pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (Vida) menarik tumpuan media apabila dia mengambil peluang menghiburkan mereka dengan lagu ‘perawan atau janda’ di perkarangan bangunan Mahkamah Ipoh, pagi Selasa.

Vida, 45, menjadi selebriti seketika apabila dikerumuni pemberita dan jurugambar media tempatan yang mengambil gambar sebaik beliau melangkah keluar di pekarangan mahkamah setelah kesnya ditangguhkan untuk sebutan semula pada 15 Disember ini.

Sambil berselfie beliau sempat menghiburkan wartawan dengan menyanyikan lagu ‘perawan atau janda’.

“Abang pilih yang mana perawan atau janda..janda lebih baik,” kata Vida sebelum memasuki keretanya meninggalkan mahkamah.

Terdahulu Hakim Mahkamah Seksyen Ipoh Murtazadi Amran menetapkan tarikh 15 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pihak peguambela menghantar rayuan kepada Peguam Negara untuk mengkaji semula pertuduhan terhadap Vida.

Tertuduh didakwa dengan 32 pertuduhan kerana gagal membayar dan menyerahkan penyata Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) melibatkan nilai RM4.2 juta.

Vida bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibacarakan bagi kesemua pertuduhan yang didakwa berlaku dari April tahun lepas hingga Julai 2016.

Tertuduh telah didakwa dengan 16 pertuduhan dibawah Seksyen 41(7) Akta GST 2014 kerana gagal membayar cukai yang genap masa dan kena dibayar bagi tempoh bercukai dari April 2015 hingga Julai 2016.

Vida yang merupakan pemilik tunggal Syarikat Vida Beauty turut didakwa dengan 16 pertuduhan lain dibawah Seksyen 41(6) Akta GST 2014 kerana gagal mengemukakan penyata GST bagi tempoh cukai yang sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Beliau didapati melakukan kesalahan itu di stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1, Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan dibawah Seksyen 41(7) dan RM50,00 dibawah Seksyen 41(6) masing-masing dengan seorang penjamin melibatkan jumlah keseluruhan RM1.76 juta.

Mahkamah turut menetapkan pasport dan sebarang dokumen perjalanan milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan sementara tertuduh diwakili peguam Syed Ahmad Syed Abas dan Khairil Azwar Khalil.