KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Nibong Tebal, Prof Madya Datuk Dr Mansor Othman rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat.

Terdahulu Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan bangun bertanyakan soalan tentang NPL Tekun dan usaha-usaha meningkatkan kemahiran dalam kalangan usahawan.

Mansor yang menjawab soalan itu menyentuh tentang kredit disiplin serta digital ekonomi, bagaimanapun jawapannya agak tersekat-sekat dan beliau kemudiannya rebah.

Beliau kemudiannya dipapah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming meminta mana-mana ahli Parlimen yang juga doktor melihat keadaan Mansor.

Beberapa minit kemudian, kelihatan seorang doktor yang ditugaskan di Parlimen memasuki Dewan Rakyat bagi memberikan rawatan kepada Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Kor Ming ketika menyambung sesi perbahasan meminta semua ahli Parlimen supaya mendoakan Mansor kembali sihat dan cergas supaya dapat melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat.

Beliau turut menasihat wakil-wakil rakyat supaya menjaga kesihatan, tidur cuku dan banyakkan minum air.

“Jangan berbahas panjang sampai larut malam, kesihatan wajib dijaga, ini bukan kes pertama. Dulu YB Sepang dan sekarang Nibong Tebal,” katanya.

– MalaysiaGazette