Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SERI ISKANDAR: Polis meminta kerjasama pelakon, Hairul Azreen tampil memberi keterangan dalam siasatan kes beliau melepaskan dua das tembakan ke udara.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan Hairul itu berlaku di belakang rumah bapa saudara Hairul di Kampung Parit Jerman, Sitiawan pada Julai 2016.

Menurutnya tindakan Hairul melepaskan tembakan ke udara itu dirakam dalam satu video berdurasi 48 saat yang tular sejak tiga hari lepas.

“Menerusi video tersebut, Hairul dilihat melepaskan dua tembakan menggunakan senapang patah milik bapa saudaranya yang dilesenkan untuk tujuan menjaga kebun.

“Kita perlukan dia beri keterangan berhubung kejadian tersebut kerana khuatir tindakannya seperti dalam video itu boleh mencetuskan persoalan dan kebimbangan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas senjata senapang patah jenis SK500 tersebut dan 29 butir peluru penabur hidup bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 8, 39 dan 41 Akta Senjata Api 1960.

Buat masa ini, difahamkan pelakon berkenaan dijangka hadir di IPD Perak Tengah pada petang ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, sebuah rakaman video pelakon tersebut, Hairul Azreen Idris, 30,berdurasi 48 saat telah tular di laman sosial YouTube sejak tiga hari lepas dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.