IPOH: Pemuda UMNO Perak hari ini menegaskan video tular Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bukanlah palsu.

Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, sehubungan itu, pihaknya sekali lagi membuat laporan polis dan menyerahkan klip video berdurasi 30 minit 36 saat kepada pihak polis untuk disiasat lebih lanjut.

Katanya, mereka melaporkan sekali lagi mengenai video itu bagi menyangkal tuduhan Kor Ming yang mengatakan pihaknya membuat laporan palsu sebelum ini.

“Hari ini, Pemuda UMNO Perak menyerahkan bukti video berdurasi 30 minit dan 36 saat kepada pihak polis kerana semalam, Kor Ming mengatakan kami membuat laporan palsu berdasarkan video yang telah disunting.

“Sedangkan klip video yang kami petik ini sebenarnya dari media rasmi Kor Ming sendiri iaitu TaipingKini. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk diteliti dan mereka nilaikan kesahihan dakwaan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, dekat sini pada hari ini.

Sebelum ini, Suara Perak melaporkan mengenai tujuh laporan polis yang dibuat oleh pergerakan itu dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung kenyataan kesat Kor Ming terhadap Menteri Besar Perak, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, beliau berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayang itu kerana ia dilihat sebagai satu perlakuan yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan masyarakat di negeri Perak.

Tambahnya, kata-kata kesat yang dikeluarkan oleh Kor Ming pada minit ke-26 dalam klip video itu telah memberi gambaran yang buruk kepada barisan kepimpinan utama negeri Perak khususnya Dr Zambry sendiri.

“Saya pun tidak mahu mengatakan video ini sahih atau palsu dan sebagainya tetapi kita serahkan kepada polis untuk menilai keseluruhannya,” katanya.

Pada 20 November lalu, laporan telah dibuat di Balai Polis Sungai Senam berhubung perbuatan Kor Ming yang dikatakan telah menghina orang Melayu dalam ceramah politiknya di sekitar Ipoh.

Sehari selepas itu, Kor Ming membuat laporan balas yang mendakwa laporan itu hanyalah sebagai satu kempen fitnah melalui blog New Malaysian Post yang disunting bagi menimbulkan ketegangan kaum.