KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mengetahui pembantu Anwar Ibrahim ditahan berkaitan video seks yang didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

“Saya tidak tahu, ini kali pertama saya dengar (mengenainya),” kata Mahathir kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran ‘Beyond Paradigm summit 2019’ di Kuala Lumpur hari ini.

Pembantu Anwar itu merupakan salah seorang daripada tiga lelaki yang ditahan semalam di sekitar Johor Bahru berkaitan video seks berkenaan.

Penahanan terhadap individu terbabit dibuat sehari selepas ketua pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima yang lain ditahan reman bagi membantu siasatan polis.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengurangkan perintah tahanan reman daripada enam hari kepada empat hari bagi kelima-lima lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, perintah tahanan reman selama enam hari terhadap Haziq dikekalkan.

Haziq sebelum ini mengaku dia adalah salah seorang individu dalam rakaman video seks sejenis yang dikaitkan dengan Azmin.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai serangan peribadi untuk memusnahkan kerjaya politiknya

Mahathir juga beberapa kali mengatakan bahawa Azmin tidak perlu bercuti sementara menunggu siasatan dilakukan.

 

-MALAYSIAKINI