KUALA LUMPUR: Kumpulan pro-Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap polis yang belum memuktamadkan siasatan kes video seks sejenis menyasarkan seorang menteri kanan.

Timbalan Pengerusi Otai Reformis, Mustapa Mansur berkata siasatan kes itu berlarutan terlalu lama sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat dan akan membawa impak negatif terhadap kewibawaan polis.

Beliau turut mempertikaikan tindakan polis hanya menahan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang mengaku terbabit dalam video seks sejenis itu, tetapi bukan pasangannya yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

“Haziq dan pasangan salah laku seks telah dikenal pasti oleh syarikat pakar pengecaman wajah (di Indonesia).

“Walaupun pengecaman wajah pelaku-pelakunya dilaporkan negatif, Haziq ditahan reman oleh polis untuk siasatan, sebaliknya pasangan intimnya dibiarkan bebas.

“Otai hairan dan kecewa mengapa individu yang disebut-sebut itu tidak ditahan untuk siasatan oleh polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dakwaan itu dinafikan Azmin.

Sementara itu, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail mempertikaikan kecekapan polis dalam siasatan ke atas kes video seks sejenis itu.

“Kita kagum dengan kecekapan polis antara terbaik di dunia, tetapi dalam kes video ini agak pelik dan keliru bagaimana siasatan polis ini (mengambil masa terlalu lama).”

Beliau membandingkan kecekapan polis menyelesaikan kes samun sebuah keluarga di Kuala Langat baru-baru ini dengan kes video seks sejenis yang berlaku bulan lalu.

“Dalam keadaan perompak-perompak itu memakai sarung muka, polis masih dapat menangkap mereka. Padahal kalau tengok dalam CCTV, gambar yang dipaparkan begitu kecil, agak sukar untuk sesiapa melihat di belakang topeng itu.

“Tetapi, dalam kes video (seks sejenis) ini, gambar itu memang terang siapa pelaku-palakunya.”

Katanya, polis tidak harus hanya menumpukan penyebar video itu, tetapi patut menyiasat lelaki yang terbabit mengadakan hubungan seks sejenis itu yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Razak berkata, Otai Reformasi tidak menyalahkan polis, tetapi mahu melihat integriti polis terus dihormati rakyat.

“Kita bukan nak salahkan polis, bukan anti-polis, kita ingin lihat integriti polis sampai ke tahap dihormati semua tanpa tafsiran berbeza.

“Ikut saja prosedur, itu saja kita minta. Pada pendapat kami, sampai saat ini siasatan polis sudah baik, kita nak lihat siasatan polis ada titik dia.

“Bukan maksud kita polis tak ikut proses undang-undang, kita hanya mahu lebih jelas.”