KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam yang menerajui sebuah badan bukan kerajaan akan menghantar beberapa klip video seks sejenis yang tersebar bulan lalu untuk dianalisis sebuah syarikat forensik video di Indonesia Khamis ini.

Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat itu berkata, keputusan analisis itu boleh diketahui dalam 2 hingga 3 hari.

“Saya juga akan bawa 20 gambar (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Azmin Ali, begitu juga 12 video Azmin, baik dalam program atau ceramah untuk suai padan dengan video seks yang tular.

“Maknanya syarikat pakar ini akan ada akses fail untuk gambar Azmin di luar video seks itu. Hasilnya itu akan diserahkan pada polis,” katanya di pintu masuk bangunan Parlimen hari ini.

Lokman yang enggan menamakan syarikat itu kerana bimbang disabotaj pihak berkepentingan berkata, institusi kehakiman Indonesia turut menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit untuk mengesahkan ketulenan bukti mahkamah.

Katanya, tindakan itu diambil selepas Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin memberitahu hasil analisis video seks sejenis itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, keputusan analisis video itu akan dihantar ke pejabatnya dan pejabat ketua polis negara, tetapi tiada tarikh ditetapkan untuk melengkapkan siasatan skandal berkenaan.

Pada 12 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui dirinya seorang daripada 2 lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.

Haziq turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

Haziq kemudiannya dipecat daripada jawatan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin susulan pengakuan itu, diikuti PKR mengambil tindakan memecat keahliannya pada 3 Julai lalu.

-FMT