IPOH: Tindakan pantas kerajaan negeri Perak pimpinan YAB Ahmad Faizal Azumu dalam memberi jaminan membantu pihak Pengurusan Pusat Pendidkan Al Barakah yang berdepan dengan masalah kewangan ternyata mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk Datuk Mohd Kazim Elias sehingga kepada guru dan  pelajar tahfiz.
Kesemua mereka meluahkan rasa syukur serta lega apabila mengetahui nasib pusat pendidikan yang amat dikenali seluruh negara akan kekal dalam menyediakan ilmu agama kepada umat Islam terutama pelajar.
Salah seorang pelajar tahfiz di sini, Muhammad Aswad Mazarudin melahirkan perasaan syukur dan gembira mengenai perkhabaran terbaharu situasi al barakah.
“Bila saya dapat tahu unit tahfiz Al-Quran Al Barakah nak ditutup saya rasa amat sedih dan saya tak tahu sekolah mana nak saya pergi, tapi bila saya dapat tahu pihak kerajaan negeri akan membantu saya gembira sangat  sebab masih berpeluang untuk sekolah di sini. Sama juga kawan saya yang lain,”katanya.
Dalam  pada itu, salah seorang tenaga pengajar Al Barakah, Ahmad Ibrahim Ahmad turut berkongsi perasaan lega kerana masih boleh berkhidmat di pusat yang dianggap seperti rumah keduanya itu.
“Pada mulanya kami amat bimbang dengan situasi di sini…tetapi apabila ramai kalangan rakyat Malaysia dan masyarakat luahkan kebimbangan sama, pihak kerajaan cepat ambil tindakan untuk selamatkan Al Barakah ini.
Alhamdulillah rasa bersyukur sangat, terima kasih kepada mereka yang menyokong usaha untuk memartabatkan unit tahfiz Al Barakah ini sebagai satu contoh kepada sekolah sekolah agama lain,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Kazim yang lebih dikenali dengan Ustaz Kazim ketika ditemui berkata bantuan dan sokongan dari kerajaan Perak khususnya dan malaysia amnya membuatkan beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan keputusan menjual unit tahfiz al barakah.
“Kami telah pun mengambil keputusan pada pagi tadi untuk menangguhkan dulu penjualan Pusat Al Barakah sehingga selesai perbincangan yang diadakan,ada yang nak bantu ada yang nak menderma termasuklah daripada orang perseorangan dari seluruh Malaysia.
“Malah di negara negara tetangga jiran Singapura, Brunei, Indonesia juga membantu jadi terima kasih kepada pihak yang membantu Al Barakah termasuk juga saya mendapat maklumat berita Menteri Besar Perak untuk turun padang menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh Pusat Pendidikan Al Barakah ini,” katanya.
Kemelut yang dihadapi oleh Al Barakah juga mendapat perhatian daripada penduduk sekitar Manjoi, yang berpendapat pusat itu patut diteruskan demi kelangsungan ilmu agama yang diajar sekian lama.
Halijah Nordin dari Sungai Tapah berkata, pusat itu memberi banyak manfaat buat umat Islam tidak kira peringkat umur.
“Masa saya dapat tahu Al Barakah akan ditutup, saya rasa sedih sebab kita tengok anak bangsa belajar di situ, orang orang tua pun ada belajar di situ, mengaji dan sebagainya dari merata tempat.
“Saya harap Al Barakah tidak ditutup, biarlah kerajaan bantu dan saya rasa bersyukur dan terima kasih kepada pihak yang ingin membantu pusat tersebut,”katanya.
Nurul Natasha Shahril Helmi, yang merupakan penduduk Manjoi turut berkongsi pandangan yang sama, baginya Al Barakah merupakan nadi bagi orang ramai mendapatkan ilmu agama.
“Ramai anak-anak muda, orang-orang tua dapat belajar di situ, kalau ditutup mana pula mereka akan pergi? Memang ada tempat lain tetapi Al Barakah bagai sudah sinonim dengan Manjoi.
“Saya dengar kerajaan negeri mahu membantu, itu satu petanda yang baik dan kami gembira dengan keputusan itu, semoga Al Barakah tetap meneruskan fungsinya sebagai tempat untuk medapatkan ilmu dunia dan akhirat,” ujar Natasha.
Sebelum ini Mohd Kazim telah memaklumkan hasrat untuk menjual unit tahfiz Pusat Pendidikan Darul Barakah pada harga RM5 juta kerana beliau sudah tidak mampu lagi menanggung kos operasi yang mencecah RM150,000 sebulan.
Menurut Ustaz Kazim, masalah itu timbul rentetan kekurangan dan pembatalan jemputan ceramah yang turut menjejaskan jualan barangan seperti buku dan sebagainya yang kebiasaannya di jual ketika sesi-sesi ceremah berkenaan.
Sebelum itu, Ahmad Faizal dalam kenyataannya berkata kerajaan negeri memberi jaminan untuk membantu Al-Barakah dengan mengenal pasti kaedah yang sesuai bagi membolehkan pusat berkenaan terus beroperasi seperti biasa.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai kekangan dana yang dihadapi oleh pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al-Barakah sehinggalah isu berkenaan dilaporkan oleh pihak media dan tular di laman sosial.