Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Suasana di sekitar stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh gempar apabila pergaduhan melibatkan seorang wanita yang bertindak ganas tercetus pada petang Isnin.

Kekecohan itu turut dirakam oleh mereka yang berada di tempat kejadian yang terkejut dengan pertelingkahan tersebut yang dipercayai hanya berpunca daripada pintu kereta yang tidak sengaja dikemikkan.

Rakaman video yang berdurasi 41 saat itu kini viral di laman sosial Facebook sejak semalam yang menunjukkan aksi seorang wanita menjerit dan menyepak seorang wanita lain.

“Kalau nak panggil polis, panggil la, saya tak kenal dia,” adalah antara ayat yang terkeluar dari mulut wanita itu selepas dia menyepak wanita yang dilihat terduduk di lantai di pekarangan KTM Ipoh.

Menurut saksi kejadian, kekecohan tersebut berlaku berikutan pintu kereta salah seorang wanita itu kemik akibat terhentak yang kemudiannya mencetuskan pergaduhan di antara dua wanita itu.

Seorang daripada wanita itu dirakam bertindak menyerang dan menggunakan kekerasan fizikal sebelum menjerit-jerit bahawa dia tidak takut jika mangsa membuat laporan polis.

Rata-rata pengguna laman sosial Facebook memberi komen negatif terhadap tindakan wanita tersebut yang disifatkan mereka sebagai telah hilang rasa hormat sesama wanita.

Antaranya komen yang dilontarkan ialah “Sifat hormat dah hilang, kaki pun boleh.”

Suara Perak akan membuat laporan susulan mengenai insiden ini dengan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa.