IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan viral terbaharu mengenai Bonus Rakyat Perak (BR1P) dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, apa yang diviralkan itu juga tidak banyak berbeza daripada apa yang diviralkan sebelum ini.

Malah, kata Dr Zambry, ada yang telah bertanya kepada beliau betulkah kerajaan negeri akan memberikan bonus yang sama.

“Ini merupakan permainan-permainan dalam media sosial bagi mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai isu yang viral di media sosial kononnya kerajaan negeri akan memberi BR1P sebanyak RM750 kepada rakyat Perak yang berumur antara 18 – 55 tahun.

Menurut viral itu juga, permohonan dibuka sehingga 24 Jun 2017.

Sehubungan itu, Dr Zambry menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya kepada penyebaran berita-berita palsu yang dilakukan melalui media sosial.