Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Polis menahan dua orang lelaki dipercayai terlibat dalam satu kes cubaan menyamun barang kemas yang viral di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lelaki itu dipercayai cuba meragut rantai emas mangsa di leher seorang wanita yang baru tiba di hadapan sebuah rumah di Desa Permai, Chemor di sini.

Rakaman video dari kamera litar tertutup yang tular itu memperlihatkan aksi lelaki itu yang menarik rantai leher mangsa dari belakang.

“Mangsa bertindak melawan suspek tetapi terjatuh lalu menjerit meminta tolong. Suami mangsa menyedari kejadian itu dan keluar mengejar suspek,” kata Chang Keong.

Bagaimanapun, katanya, suspek berjaya melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama kawannya.

“Justeru, polis kini telah menahan dua orang suspek lelaki untuk membantu siasatan kes,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, tangkapan suspek pertama dibuat semalam dan direman sehingga 2 November depan.
Dia didapati mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, katanya.

Jelasnya, tangkapan kedua pada Sabtu dan direman selama empat hari sehingga 31 Oktober depan.

Suspek kedua turut mempunyai satu rekod jenayah curi di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, ujarnya.

“Suspek tidak sempat mengambil barang kemas mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun,” ujarnya lagi.