Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH. Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu menafikan samada penglibatannya atau kerajaan negeri dalam sebuah majlis amal menampilkan seorang wanita berpakaian seksi.

Difahamkan, dalam sebuah klip video berdurasi 1 minit 24 saat tersebut seorang wanita berpakaian menjolok mata sedang melakukan persembahan tarian dan nyanyian dalam sebuah majlis “amal” makanmalam berlatar belakangkan poster kerajaan negeri tular di laman sosial.

Ahmad Faizal berkata, beliau menyedari terpapar pada skrin besar video berkenaan tertera perkataan”Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Kinta Perak. Malam Amal Ratu Kebudayaan Yang ke-14 Tahun 2018. Ratu Kebaya, Ratu Sari, Ratu Cheongsam.

“Saya, telah meminta pihak berkaitan untuk menyemak kaitan kerajaan negeri dengan majlis tersebut dan makluman yang saya terima menunjukkan tiada sebarang tajaan atau kehadiran mana-mana wakil pejabat Menteri Besar atau mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri pada majlis terbabit.

“Justeru itu, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan saya, pejabat Menteri Besar Perak dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri Perak secara langsung atau tidak langsung dengan majlis itu.

“Saya tidak pasti apakah niat pihak berkenaan berbuat demikian, tetapi saya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia melibatkan imej institusi Menteri Besar Perak dan juga kerajaan Perak keseluruhannya,”katanya dalam sebuah kenyataan media di sini,hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, turut dipaparkan pada skrin besar dalam video tersebut adalah: “Ribuan terima kasih dan penghargaan kepada tetamu terhormat YB M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia) dan YAB Ahmad Faizal Azumu (Menteri Besar Perak).
Malah, beliau menyedari bahawa pihak penganjur juga telah menggunakan logo Jata Negeri Perak, logo Visit Perak 2017 dan logo Tourism Perak pada skrin latar majlis tersebut.

“Susulan daripada kejadian yang mendukacitakan ini, saya telah mengarahkan supaya mana-mana pihak yang ingin menggunakan imej saya atas kapasiti sebagai Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen supaya merujuk kepada Pejabat Menteri Besar terlebih dahulu.

“Ini adalah bertujuan melindungi imej insitusi Menteri Besar Perak dan imej kerajaan negeri Perak secara keseluruhannya dari sebarang acara atau aktiviti yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat pelbagai agama dan kaum, serta menyentuh perkara-perkara sensitif,”katanya lagi.