IPOH– Penularan wabak beguk (mumps) berlaku di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini, sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil, Orang Asli, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, A. Sivanesan, keadaan masih terkawal dan pihaknya belum mendapat laporan lengkap berhubung kes berkenaan.

“Kementerian Kesihatan bersiap sedia untuk menangani wabak ini dan kesemua pelajar dikuarantin di sekolah kerana dibimbangi akan menjangkiti orang lain pula.

“Kira-kira dua minggu diperlukan untuk seseorang yang dijangkiti wabak pulih sepenuhnya, situasi kini terkawal dan dipantau oleh Jabatan Kesihatan negeri untuk elak ia dari merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Memory Walk 2018 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini pada Ahad.

Sebelum ini kes melibatkan wabak beguk berlaku di Sekolah Menengah Agama (SMA) Izzuddin Shah, Ipoh termasuk kes skuad futsal kontinjen Sabah pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 yang menyebabkan pasukan lelaki dan wanita terpaksa menarik diri dari kejohanan untuk mengelak jangkitan.