IPOH: Wabak denggi diramal akan meningkat di seluruh negara menjelang Julai dan Ogos tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Menurut beliau, suasana persekitaran dan perubahan cuaca akan menjadi penyumbang kepada peningkatan wabak itu.

Sehubungan, beliau menasihatkan semua pihak supaya mengambil langkah-langkah pencegahan mulai sekarang, bagi menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes, terutama di tapak pembuangan sampah, tapak projek dan kawasan kediaman terbiar.

“Pegawai-pegawai kesihatan juga perlu sentiasa membantu pihak berkuasa tempatan dalam menghapuskan kawasan-kawasan pembiakan nyamuk agar wabak denggi dapat dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Buntong, di sini, pada Isnin. Hadir sama Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk V. Elango.

Menurut Dr Subramaniam, kajian yang dibuat mendapati, selain kawasan tapak pembinaan dan kediaman terbiar, kawasan rumah kediaman yang didiami penduduk juga dikenalpasti sebagai kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“Orang ramai perlu sama bertanggungjawab memastikan kawasan kediaman mereka seperti longkang, bilik air dan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan tidak menjadi kawasan pembiakan nyamuk,” ujarnya.