IPOH: Walaupun berlaku wabak penyakit seperti influenza (ili) di Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini, ia tidak menghalang ibu bapa untuk datang bersama anak-anak mereka mendapatkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Ada yang sanggup datang jauh dari luar Perak, bersama-sama keluarga, semata-mata untuk melihat sendiri keputusan itu dan memberi semangat kepada anak-anak mereka.

Sekolah Raja Perempuan Taayah merupakan sekolah yang paling teruk dijangkiti ILI apabila 230 pelajarnya terpaksa dikuarantin sejak minggu lalu selepas mereka mengalami demam, sakit tekak dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, kelesuan dan selesema.

Walaupun, tiada rekod baru dilaporkan sejak 48 jam lalu, tetapi pelajar masih dikuarantin di asrama masing-masing dan hanya dibenarkan pulang selepas mendapat kebenaran doktor.

Zarina Abdullah dari Rawang, Selangor berkata, walaupun mendengar pelbagai cerita mengenai wabak ILI di sekolah anaknya, ia bukan penghalang kepadanya untuk datang bersama-sama keluarga bagi meraikan kejayaan anaknya, Siti Nuraisyah Mohd Zulkifli.

7f09be1d-43e9-4e23-ab77-11ebf7acb65d

“Alhamdulillah anak saya mendapat 11A dan saya sangat bersyukur sangat dan berharap ia menjadi pendorong kepada adik-adiknya yang akan mengambil SPM,” katanya ketika ditemui.

Bagi Abd Rahman Amran, dia lebih bimbangkan keadaan kesihatan pelajar yang masing belajar di sekolah berkenaan.

“Saya lebih bimbang kepada pelajar yang ada di sini dan kita berharap ujian Allah ini akan berhentilah di semua sekolah yang berdekatan,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria menyampaikan keputusan SPM kepada calon yang mendapat keputusan cemerlang di sekolah berkenaan.