IPOH: Aktiviti kawalan dan saringan berikutan wabak malaria di perkampungan Orang Asli Pos Kemar, Gerik yang mula dilaporkan 16 November lalu masih diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, aktiviti pengesanan kontak itu akan diteruskan sehingga meliputi semua penduduk berisiko dalam kawasan sekitar dua kilometer radius.

Menurut beliau, aktiviti itu dijangka dapat dilengkapkan dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata didapati seramai 41 Orang Asli Pos Kemar, Gerik positif malaria sehingga semalam, dengan tiga kes terbaru dikesan pada Rabu lalu.

“Kejadian wabak Malaria di Pos Kemar Hulu Perak dilaporkan pada 16 november 2016 setelah tiga penduduk di Kampung Senangit didapati positif,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Dr Mah berkata, lokaliti Pos Kemar didapati kawasan berisiko tinggi untuk jangkitan malaria dan kawalan menerusi edaran kelambu berubat secara berkala telah dijalankan.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak memulakan aktiviti saringan dan semua penduduk dalam lingkungan dua kilometer radius dari tempat kes itu berlaku.

Beliau memberitahu, sehingga hari ini, sebanyak 90 daripada 317 rumah di kawasan wabak sudah diedarkan kelambu berubat.

“Selain itu, aktiviti semburan residu turut dijalankan di 40 buah rumah bertujuan untuk mengawal nyamuk Anopheles iaitu vektor untuk penyakit malaria,” ujarnya.

Katanya lagi, aktiviti pengambilan slaid telah dimulakan pada 17 – 20 November lalu dengan sebanyak 334 slaid telah diambil bacaannya.

Dr Mah berkata, setakat ini punca wabak berkenaan masih belum dikenalpasti.

Bagaimanapun, tambah beliau, beberapa kemungkinan dikaitkan dengan pergerakan keluar masuk penduduk setempat yang mempunyai pertalian saudara dengan perkampungan Orang Asli di Gua Musang yang turut mencatatkan penularan wabak itu.

Di samping itu, ujarnya, kemungkinan wabak itu juga dibawa daripada kehadiran pekerja asing yang menjalankan proses pertanian dan pembangunan di kawasan tersebut.