GERIK: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memantau pergerakan keluar masuk penduduk ke penempatan Orang Asli Pos Kemar, Gerik secara serta merta, bagi mengekang wabak malaria.

Ketua Pengarahnya, Mohd Jamalludin Kasbi berkata, keputusan itu dibuat ekoran bilangan terbaharu penduduk yang terkena jangkitan meningkat kepada 77 orang berbanding hanya 41 ketika dikesan 16 November lalu.
Menurut beliau, pegawai JAKOA akan ditempatkan di laluan keluar masuk menerusi darat ke penempatan itu kerana ia mudah diakses dan tidak sukar dikawal.

“Jabatan Kesihatan Perak juga akan membantu membuat saringan supaya hanya yang bebas wabak dibenarkan keluar dari kawasan terjejas agar ianya dapat kita kawal,” katanya ketika ditemui selepas melawat penduduk Orang Asli yang dijangkiti malaria di Hospital Gerik pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, JAKOA juga telah menjemput doktor pakar dari Hospital Orang Asli Gombak untuk datang ke penempatan tersebut bagi membantu penduduk yang enggan mendapatkan rawatan.

 
Sehingga semalam, tujuh kes jangkitan malaria baharu dikesan di penempatan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak itu meningkat kepada 77 kes berbanding 64 kes Rabu lalu.

Jumlah pesakit yang dimasukkan ke Hospital Gerik ialah seramai 62 orang dan lapan pesakit di Hospital Kangsar manakala selebihnya masih dalam proses penghantaran.

Mohd Jamalludin turut memberitahu, 13 daripada pesakit itu dijangka dibenarkan kelaur dari Hospital Gerik pada Sabtu dan akan ditempatkan di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah 2 yang dijadikan pusat transit bagi rawatan susulan.

“Semua pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital itu akan mendapatkan rawatan susulan selama 14 hari bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan malaria,” ujarnya.