BAGAN DATUK – Dek kerana wajahnya iras seorang menteri Kabinet, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Mohd Hafiz Mokhtar mencuri tumpuan pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Wajahnya yang seiras Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof itu turut menjadi usikan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad ketika merasmikan mesyuarat tersebut.

“Macam mana ada muka Mujahid pula kat sini? Risau betul takut adik dia ke… Saya risau daripada jauh betul ke tidak.

“Jangan main-main tahu, menteri ini panggil saya kanda dalam Dewan Rakyat. Dia tak panggil dinda, dia panggil kanda Parit Sulong.

“Cuba pakai tanjak sikit nak tengok macam mana muka Mujahid pakai tanjak (sambil ketawa),” katanya ketika berucap pada perasmian mesyuarat perwakilan tersebut di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini hari ini.

Usikan tersebut turut mengundang tawa perwakilan daripada tiga sayap yang hadir.

Sementara itu, Mohd Hafiz yang ditemui Sinar Harian berkata, dia memang menjadi usikan rakan-rakan kerana wajahnya iras menteri berkenaan.

“Saya bukan Mujahid. Adik-beradik pun bukan. Kebetulan muka kami seiras. Orang selalu usik saya sejak Mujahid baring atas jalan.

“Memang dah biasa kena usik tapi saya tak kisah. Kadang-kadang klien pun tengok muka saya betul-betul nak pastikan saya bukan Mujahid,” katanya yang berasal dari Parit 25, di sini.

Dia yang bekerja swasta di Kuala Lumpur berkata, walaupun wajah iras menteri dari parti Amanah itu, perjuangannya tetap teguh bersama UMNO.

 

-SINARHARIAN