IPOH – Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dimartabatkan dalam setiap majlis rasmi kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri selepas ini.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu jelas dan tiada tolak ansur akan diberikan mengenai hal itu.

“Ramai orang tanya saya dalam keadaan kita parti memerintah yang berubah dari dulu apakah jaminan kedudukan orang Melayu, bagaimana kedudukan bahasa.

“Saya tegas bab ini, acara rasmi negeri dan negara misti memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ini tidak ada tolak ansur,” katanya ketika berucap dalam majlis Iftar Perdana di Manjoi, di sini pada Selasa. Turut hadir Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Namun tambah Anwar, dalam masa sama rakyat juga perlu bersikap terbuka untuk menguasai bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain jika mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju serta berdaya saing.

“Sikap kita perlu terbuka, penguasaan bahasa Inggeris harus baik, kalau ada anak Melayu, Cina atau India nak belajar bahasa Cina (Mandrin) kita perlu beri galakkan.

“Bahasa kebangsaan perlu kita mantapkan dan bahasa lain kita boleh kembangkang seperti juga bahasa Tamil,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pemimpin PH khususnya beragama Islam untuk menjauhi sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa ketika mentadbir di peringkat pusat atau pun negeri.

Jelasnya ia penting bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat termasuk bukan Islam kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.