BAGAN DATUK: Umat Islam yang berhasrat mewakafkan tanah mereka diminta menyediakan dokumentasi perundangan bagi mengelakkan perkara berbangkit di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membuat saranan itu berkata, ia antara lain bertujuan mengelakkan pertikaian antara waris mereka di masa hadapan.

“Bila kita nak wakafkan hartanah, kena ikut perundangan seperti Kanun Tanah Negara, Baitulmal dan undang-undang agama Islam setiap negeri.

“Jadi, perkara-perkara yang melibatkan aspek perundangan seperti wakaf ini, tidak boleh dilakukan hanya dengan niat sahaja, sebaliknya perlu didokumentasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika minum petang bersama penduduk setempat selepas melawat Sekolah Rendah Agama Rakyat Al Ridzuan dan Masjid Ubudiah, Parit 19, Hutan Melintang, di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahaya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, banyak tanah wakaf tidak dapat dibangunkan kerana pertikaian waris, walaupun mempunyai nilai yang tinggi.

“Ketika saya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, nilai tanah wakaf seluruh negara pada 2009 dianggarkan RM9 bilion mengikut harga pasaran dan saya percaya sekarang 2018, nilainya telah meningkat antara 30 dan 50 peratus,” ujarnya.