KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila beberapa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan meminta Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) supaya segera menarik balik kenyataannya yang mengaitkan parti DAP dengan Komunis.
P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) berkata, kenyataan Annuar itu hanya menimbulkan sangkaan jahat dan tidak mempunyai bukti.

“Itu sangkaan jahat Yang Berhormat. Sekiranya boleh membuktikannya, buktikan. Sudah jadi ‘otai’ dalam dewan ini, takkan buat kenyataan macam itu,” katanya yang bangkit meminta Ahli Parlimen Ketereh itu menarik balik kenyataan tersebut.

Sementara itu RSN Rayer (PH-Jelutong) pula mendakwa Annuar tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Ketereh ada penyakit. Tidak boleh keluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Berikutan ketegangan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof memutuskan sama ada kenyataan Annuar perlu ditarik balik atau tidak, pada hari esok.

Katanya, beliau akan melihat hansard Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya akan melihat keseluruhan hansard hari ini dan kita akan putuskan esok. Saya dengar, seolah olah Yang Berhormat Ketereh mengaitkan kepemimpinan DAP secara langung dengan parti Komunis. Esok, kita akan lihat sama ada seharusnya ditarik balik atau tidak. Setakat apa yang saya dengar tadi, seharusnya ditarik balik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE