IPOH: Ketika tiga orang wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN) pada Februari 2009, BN dituduh dengan pelbagai tohmahan dan maki hamun.

Tindakan tiga wakil rakyat itu menyebabkan kerajaan PR tumbang, hanya selepas kira-kira 11 bulan memerintah Perak.

Maka, bermulalah siri tohmahan, cacian dan hinaan dilemparkan kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Antara cacian, hinaan dan tohmohan yang dilemparkan, baik melalui akhbar, media sosial, siri ceramah dan Sidang Dewan Negeri ialah BN perompak, pencuri, kerajaan haram dan pelbagai lagi, yang mungkin tidak sanggup didengari.

Selepas lebih sembilan tahun, sejarah yang sama berulang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), cuma kali ini ia melibatkan wakil rakyat BN melompat menyokong Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan negeri Perak.

Dengan nada cukup tenang, Dr Zambry berkata, BN menerima pembentukan kerajaan negeri Perak bagi penggal ke 14 yang diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah dua wakil rakyat dari BN memberikan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru.

Beliau langsung tidak menuduh Pakatan perompak, pencuri atau cacian dan makian yang pernah dilontarkan kepada beliau, selama bertahun-tahun sejak 2009.

Malah, beliau langsung tidak menyebut nama dua wakil rakyat BN yang melompat itu, sebaliknya meminta wartawan bertanya kepada Menteri Besar yang baru.

“Itu kena tanya merekalah, kena tanya MB yang baru, mereka pun buat keputusan, itu ialah keputusan mereka.

“Mereka tidak memaklumkan tak apalah, kita menghormati, yang paling penting apabila sesebuah parti mempunyai cukup untuk membentuk kerajaan, kita hormatilah,” katanya pada sidang media khas di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Jika pada 2009, tiga wakil rakyat yang menyeberang menyokong BN dituduh sebagai pengkhianat dan pelbagai lagi tuduhan, tetapi Dr Zambry langsung tidak berkata apa -apa terhadap dua wakil rakyat BN yang melompat.

“Ini proses demokrasi, soal mereka ada prinsip ke tiada prinsip ke, itu biarlah rakyat membuat penilaian,” ujarnya.

Dr Zambry mengakui terkejut dengan tindakan dua wakil itu kerana selama ini mereka memang agak rapat dengan beliau.

Sehingga ke akhir sidang media itu, beliau masih enggan mendedahkan nama dua wakil rakyat itu, termasuk ketika ditanya adakah mereka merupakan bekas exco kerajaan negeri.