IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan wakil rakyat supaya terus melaksanakan tanggungjawan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, menjadi wakil rakyat bukan bermakna mereka boleh memasang impian untuk menjadi kaya.

“Kalau nak jadi wakil rakyat, kena ada dalam fikiran untuk membantu rakyat, bukan nak jadi kaya,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan masyarakat India di Ladang Nova Scotia, dekat sini pada Selasa.

Majlis itu adalah aktiviti pertama Dr Zambry dalam program Permukiman Daerah Hilir Perak.

Hadir sama Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, Datuk Seri Dr Mah Siew Keong, ADUN Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin, Penasihat Kepada Menteri Besar, Datuk V. Elango dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr A. T Kumararajah.

Dr Zambry turut mengingatkan rakyat Teluk Intan supaya tidak mengulagi kesilapan yang dilakukan rakyat Lumut yang tidak memilih semula Tan Sri Kong Choo Ha yang menjadi menteri ketika pilihan raya lalu.

“Dulu saya ingatkan orang Lumut, Tan Sri Kong Choo Ha ketika itu seorang menteri tetapi mereka tidak mahu dengar, kononnya mahu menukar kerajaan, mereka pilih orang lain.

“Akhirnya sekarang, bila rakyat datang jumpa dia minta tolong, dia kata dia bukan wakil rakyat lagi,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Dr Zambry berharap rakyat di Teluk Intan akan terus menyokong wakil rakyat kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sangat prihatin untuk membantu masyarakat India di negara ini.

Beliau memberi contoh, sejak diwujudkan tahun 2012, SEED telah membantu lebih 30,000 usahawan India di seluruh negara dengan peruntukan kewangan kira-kira RM 1.28 bilion.